Perlukah Bicara Soal Bidaah





Masyarakat kini telah terbiasa dengan satu terma yang menimbulkan kontroversi di kalangan ahli ilmu dan orang awam. ‘Bidaah’ sering diperkatakan oleh umat kini dan ramai ingin tahu kecenderungan pihak yang membincangkannya, sama ada ‘semua bidaah itu sesat’ ataupun ‘ada bidaah hasanah’. Ada sesetengah golongan yang berpandangan bahawa ‘semua bidaah sesat’ dan dianggap sebagai pemecah belah masyarakat. Perkara ini bukan kejutan kerana masyarakat awam kebanyakannya masih dibelenggu kekeliruan untuk membezakan antara kaedah syarak dalam muamalat dan kaedah syarak dalam ibadah.




Yang menjadi rumitnya, ada sesetengah lulusan agama dan mereka yang berjawatan dan mendapat kepercayaan masyarakat dalam hal agama menghalalkan cita rasa sesetengah pihak dalam beragama. Tambahan pula apabila mereka disemai dengan ‘benih’ prejudis terhadap ‘pemecah belah masyarakat’ tadi, maka impaknya, apabila dipertikaikan kesahihan suatu amalan agama turun temurun, manakah dalil atau nas-nas yang mengesahkan amalan itu, mereka akan meradang. Fenomena ini berlaku kerana masyarakat sering menyandarkan amalan agama turun temurun kepada para ulama’ semata.


Masyarakat kian keliru apabila mereka diperkenalkan dengan terma bidaah, ditambah pula dengan konsep’bidaah hasanah’ tanpa mereka mengenali dengan lebih mendalam lagi tentang konsep ibadah itu sendiri. Oleh itu, adakah releven untuk kita berbicara tentang soal bidaah tanpa masyarakat awam masih jahil tentang konsep ibadah?


Berikut adalah beberapa perkataan ulama’ Ahlu Sunnah Wal Jamaah dalam memahami konsep sebenar ibadah yang wajib diketahui untuk mendapat pahala daripadanya.

1. Al-Imam as-Subki seperti nukilan Ibn Hajar al-‘Asqalani as-Syafi’ie berkata:



“Asal hukum dalam ibadah adalah tawaqquf (berhenti hingga ada dalil)."

2. Pengarang Nihayah al-Muhtaj dalam mazhab As-Syafi’ie berkata:
“Asal hukum dalam ibadah adalah jika ia tak dituntut, ia tidak berlaku

3. Kata as-Syeikh Muhammad Bin Muhammad:
“Asal hukum dalam perkara bermanafaat ialah mubah (harus) manakala dalam perkara mudarat ialah haram. Maka berkata ramai ulama antaranya al-Imam al-Isnawi: dan ini hanya berlaku selepas disyariatkan dengan dalil-dalil syar’ie, sedangkan sebelum warid (ada dalil), maka pilihan ulama ialah waqf (berhenti pada dalil)”.

4. Kata as-Syiekh Said bin Ali al-Qahtani:
“Asal hukum dalam semua perkara adalah harus; kerana Allah telah menciptakan bagi hamba-Nya semua benda di atas muka bumi ini bermanafaat untuk mereka, melainkan apa yang diharamkan oleh-Nya. Asal hokum dalam ibadah adalah dilarang dan bersandarkan dalil melainkan apa yang thabit dalam syarak ia disyariatkan oleh Allah atau dari Rasulluah s.a.w.”

5. Perkataan Ibn Qayyim al-Jawziyyah:
“Asal hukum di dalam ibadat adalah batal melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya”.


Daripada kata-kata para ulama’ di atas, semuanya mempunyai kesamaan dalam memahami konsep ibadah. Tidak hairanlah bila para ulama’ Ahlu Sunnah Wal Jamaah mendatangkan kaedah:

‘Al-Ashlu fil Ibadah al-Haram Illa Ma Dalla ad-Dalil ‘ala Amrihi’
(Hukum asal dari ibadah adalah haram kecuali ada dalil yang memerintahkan)

Berbeza pula dengan kaedah muamalah iaitu:

‘ Al-Ashlu fil Muamalah Al-Ibahah Illa ma dalla ad- Dalil ‘ala khilafihi’
(Hukum asal dari muamalah adalah boleh kecuali ada dalil yang menyelisihinya)




Andai konsep ibadah tidak dapat difahami oleh para mad’u, perselisihan pendapat akan berlaku untuk menentukan amalan mana yang diterima oleh Allah.Justeru itu, para da’ie perlulah merungkaikan masalah ini sebelum terjun ke dalam persoalan yang lebih mendalam lagi.


Konklusinya, fahami konsep ibadah sebenar sebelum berbicara tentang bidaah.


Dipetik dan diolah dari : Majalah I keluaran Disember 2008

Garapan : Ibn Yusof

0 Response to Perlukah Bicara Soal Bidaah

Post a Comment