Latest In KKIP 09




SALAM


kepada semua blogger KKIP jemputlah umtuk tolong mempublish poster ni ke blog anda 
sebagai satu langkah mempromosi sekaligus terlibat dengan program KKIP


SYUKRAN, TERIMA KASIH

Hari Kejayaan!



Kau Pergi Jua...




Masih saya ingat lagi. Zaman kecil. Setiap kali pulang ke kampung ayahku di Kg. Gajah, Perak, saya akan segera mendapatkan opah saya. Semestinya opah ada di dapur. Sibuk menyediakan juadah buat santapan anak, manantu dan cucu tersayang.Dan masih saya ingat lagi, opah gemar untuk memasak ikan tongkol masak taucu dan gulai tempoyak. Dia tahu, itu masakan kegemaran cucunya ini.

Saya masih ingat lagi, opah suka bercerita tentang zaman dulu-dulu. Ketika Jepun bermaharajalela di Tanah Melayu. Dengan gayanya tersendiri, dia akan bercerita. Mengulangi ceritanya sambil diselitkan dengan dendangan lagu Jepun yang kadang-kadang kami adik beradik ketawa geli hati melihat gayanya yang bersahaja. Opah tak pernah mengeluh pabila kami menyuruh mengulangi cerita yang sama. Opah tidak kisah. Asalkan cucu-cucunya gembira.

Sebelah malamnya pula, saya suka tidur sebelah opah. Opah akan tepuk punggung, dodoikan saya dengan selawat sambil diselangi lagu-lagu melayu. Mudah saja saya terlena. Opah tak pernah marah bila badan kecil saya menghimpit badannya dan memenuhi ruang katilnya.

Opah juga suka memanggil kami dengan nama timangan yang diberinya kepada kami. Adik perempuan saya dipanggilnye 'ngendai' sebab badan dia berisi.Adik lelaki saya pula 'Ansari' meskipun namanya Irsyad.

Bila usia menginjak naik, saya jarang dapat berjumpa dengan opah. Yang penting waktu hari raya dapatlah saya bersalaman dengannya. Tambahan pula opah semakin uzur dan sukar untuk berjalan. Pak Long lah yang menjaganya di kampung.

Cuti akhir semester yang lalu, saya sempat berjumpa dengan opah. Saya kagum dengan opah sebab dia mampu mengingati saya meskipun saya sudah lama tak berjumpa dengan opah. Tambahan pula opah menghidapi penyakit nyanyuk yang biasanya dihidapi oleh warga tua. Dia berpesan pada saya supaya bejar rajin-rajin dan kahwin bila umur 25 tahun. Itulah yang selalu diperingatkan pada saya. Saya sempat memeluknya sebelum pulang tanpa saya sedari itulah detik terakhir saya dapat memeluk dan bersua dengan opah...


Sabtu, 12 September 09, 22 Ramadhan 1430H, Subuh

Saya dikejutkan dengan satu mesej daripada kakak saya 

"Salam Opah dah meninggal dunia jam 4 pagi tadi, Sedekahkan Fatihah untuk opah. Kami nak pi umah cik nuar tgk jenazah opah"

Hati saya bagai disentap kuat. Terkedu saya membaca mesej itu.Mahu saja aku pulang . Namun masa tidak mengizinkan.




Maknanya selepas ini ....

tiada lagi gulai tempoyak dan taucu masakan opah

tiada lagi cerita zaman jepun buat hiburan kami

tiada lagi tangan yang mendodoikan saya

tiada lagi terngiang nama 'ngendai' dan 'Ansari'

dan yang pentingnya

tiada lagi nasihat dari bibir opah menasihati aku tanpa jemu.


Ya Allah . Aku pasrah kepada ketentuanMu ini. 
Kau berilah ketabahan keatas kami agar dapat menerima takdir yang amat pahit untuk diterima

Dan kau tempatkanlah opahku bersama meraka yang Engkau kasihi dan rahmati

Amin. Yarabbal alamin




Al-Fatihah buat opahku...