Jom Puasa 10 Muharam



Dalam bulan Muharram hari yang paling bertuah ialah hari ke-10 atau
lebih dikenali dengan nama Hari Asyura'. Pada hari tersebut kita
disunatkan berpuasa.

Malah dalam mazhab Imam Hanafi puasa hari ke-10 dalam bulan Muharram
ini adalah satu-satunya fardhu puasa yang pertama sebelum difardhukan
puasa bulan Ramadhan.

Hadith daripada Aisyah: "Sesiapa ingin berpuasa (sunat 10 Muharram)
maka bolehlah dia berpuasa. Dan sesiapa yang tak ingin berpuasa maka
boleh dia tinggalkan". Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Malah dalam sebuah hadith riwayat Muslim Nabi berpuasa pada 10
Muharram kerana pada hari tersebut diselamatkan Nabi Musa a.s daripada
lemas dan juga daripada buruan Firaun.

KELEBIHAN

Baginda bersabda: "Berpuasa sunat pada 10 Muharram akan menghapuskan
dosa setahun sebelumnya". Riwayat Muslim.

BEZAKAN PUASA DENGAN ORANG YAHUDI

Oleh kerana orang Yahudi juga berpuasa pada 10 Muharram maka
disunatkan umat Islam berpuasa sejak 9 Muharram lagi bagi membezakan
dengan puasa orang Yahudi. Hadith ini dikhabarkan oleh Ibnu Abbas
dalam sebuah hadith riwayat Muslim dan Abu Daud.

Atau kalau tidak dapat dikerjakan pada 9 Muharram maka boleh juga
digandingkan 10 Muharram dengan 11 Muharram.

SEJARAH 10 MUHARRAM

Imam al-Ghazali menyebut dalam kitabnya Mukasyafatul Qulub bahawa pada
tarikh tersebut:

1. Terbunuhnya Sayyidina Hussain (cucu Nabi) di Karbala'.
2. Diterima taubat Nabi Adam a.s.
3. Dicipta Adam a.s.
4. Dimasukkan Adam a.s ke dalam syurga.
5. Dicipta arasy, Kursi, langit, matahari, bulan, bintang-bintang.
6. Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s.
7. Selamat Nabi Ibrahin daripada api Namrud.
8. Selamat Musa dan pengikutnya.
9. Lemas Firaun.
10. Dilahirkan Nabi Isa a.s.
11. Diangkat Nabi Isa kelangit.
12. Diangkat Nabi Idris ke langit.
13. Mendaratnya kapal Nabi Nuh dengan selamat di atas bukit Judy.
14. Nabi Sulaiman diberi kerajaan yang besar.
15. Dikeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan Nun.
16. Nabi Ya'kub dapat melihat kembali selepas daripada menjadi buta.
17. Dikeluarkan Nabi Yusuf daripada telaga buta.
18. Disembuhkan Nabi Ayyub daripada penyakitnya.
19. Hujan yang pertama turun dari langit kebumi.

14 perkara yang sunat dilakukan pada hari Asyura :

1. Melapangkan masa / belanja anak isteri
fadhilat - Allah akan melapangkan hidupnya pada tahun ini.

2. Memuliakan fakir miskin
fadhilat - Allah akan melapangkannya dalam kubur nanti

3. Menahan marah
fadhilat - Di akhirat nanti Allah akan memasukkannya ke dalam golongan
yang ridha

4. Menunjukkan orang sesat
fadhilat - Allah akan memenuhkan cahaya iman dalam hatinya

5. Menyapu / mengusap kepala anak yatim fadhilat - Allah akan
mengurniakan sepohon pokok di syurga bagi tiap-tiap rambut yang di
sapunya.

6. Bersedekah
fadhilat - Allah akan menjauhkannya daripada neraka sekadar jauh
seekor gagak terbang tak berhenti-henti dari kecil sehingga ia mati.
Diberi pahala seperti bersedekah kepada semua fakir miskin di dunia ini.

7. Memelihara kehormatan diri
fadhilat - Allah akan mengurniakan hidupnya sentiasa diterangi cahaya
keimanan.

8. Mandi Sunat
fadhilat - Tidak sakit (sakit berat)pada tahun itu lafaz niat : sahaja
aku mandi sunat hari Asyura kerana Allah Taala.

9. Bercelak
fadhilat - tidak akan sakit mata pada tahun itu

10. Membaca Qulhuwallah hingga akhir seribu kali
fadhilat - Allah akan memandanginya dengan pandangan rahmah diakhirat
nanti

11. Sembahyang sunat empat rakaat
fadhilat - Allah akan mengampunkan dosanya walau telah berlarutan
selama 50 tahun melakukannya. lafaz niat : sahaja aku sembahyang sunat
hari Asyura empat rakaat kerana Allah Taala. Pada rakaat pertama dan
kedua selepas fatihah di baca Qulhuwallah sebelas kali.

12. Membaca "has biallahhu wa nik mal wa kila nikmal maula wa
nikmannasiru"
fadhilat - Tidak mati pada tahun ini

13. Menjamu orang berbuka puasa
fadhilat - Diberi pahala seperti memberi sekalian orang Islam berbuka
puasa.

14. Puasa Niat - Sahaja aku berpuasa esok hari sunat hari Asyura
kerana Allah Taala.
fadhilat - Diberi pahala seribu kali Haji, seribu kali umrah dan
seribu kali syahid dan diharamkannya daripada neraka.

Segalanya Baru




Salam Maal Hijrah 1430 H .
Moga tahun ini lebih baik dari tahun sebelumnya.


&



Selamat menempuh semester 2 sesi 08/09
yang akan kunjung tiba.

ALL DA BEST !!!

Rahmat Ujian





Lagu ini sering saya jadikan pembakar semangat saya apabila ditimpa masalah atau ujian. Hayatilah bait-bait liriknya.



RAHMAT UJIAN


Dalam derita ada bahagia

Dalam gembira mungkin terselit duka

Tak siapa tahu

Tak siapa pinta ujian bertamu


Bibir mudah mengucap sabar

Tapi hatilah yang remuk menderita

Insan memandang

Mempunyai berbagai tafsiran


Segala takdir

Terimalah dengan hati terbuka

Walau tersiksa ada hikmahnya


Harus ada rasa bersyukur

Disetiap kali ujian menjelma

Itu jelasnya membuktikan

Allah mengasihimu setiap masa

Diuji tahap keimanan

Sedangkan ramai dibiar dilalaikan

Hanya yang terpilih sahaja

Antara berjuta mendapat rahmatnya


Allah rindu mendengarkan

Rintihanmu berpanjangan

Bersyukurlah dan tabahlah menghadapi

Segala ujian diberi

Maka bersyukurlah selalu



Lagu : Manis Helma

Lirik : Lukhman S

Munsyid : Mestica

Album : Layar Keinsafan

Ibadah Korban : Cara Berpandukan Sunnah




Salam segala salam.

Sempena Hari Raya Aidiladha yang Bakal menjelang tiba, tergerak hati untuk menggarap cara-cara melaksanakan ibadah korban mengikut sunnah Rasulluah s.a.w. Antaranya ialah :-


1. Waktu perlaksanaan ibadah korban

Selepas selesai solat sunat Hari Raya Aidiladha dan berlanjutan hingga Hari Tasyriq, 3 hari selepas solat sunat Hari Raya Aidiladha. Maka boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12, 13 Dzulhijjah
Sabda Rasulluah s.a.w : “Seluruh hari-hari Tasyriq merupakan waktu penyembelihan.” – Hadis riwayat Ahmad






2. Haiwan korban tidak memiliki kecacatan

Hendaklah dipilih daripada baka yang baik serta tidak memiliki kecacatan.
Sabda Rasulluah s.a.w : “4 jenis binatang yang tidak dibolehkan dalam ibadah korban : Buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas, tempang yang jelas, tidaj berdaya berjalan dan kurus.” – Hadis riwayat Abu Daud.










3. Tidak menggunting rambut dan memotong kuku

Bagi pelaksana ibadah korban, tidak boleh memotong kukunya semenjak tarikh 1 Dzulhijjah sehingga melaksanakan ibadah korban.
Sabda Rasulluah s.a.w : “ Jika telah masuk 10 hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang antara kamu semua ingin menyembelih korban, janganlah memotong rambot dan kukunya walau sedikit,” – Hadis riwayat Muslim

Jika memotong secara sengaja ataupun tidak, memadai memohon keampunan dengan bersungguh-sungguh. Tidak dikenakan fidyah







4.
Seekor unta atau lembu boleh dibahagikan kepada 7 bahagian

Jabir r.a berkata : “ Kami pernah menyembelih (haiwan korban) bersama Rasulluah s.a.w ketika di Hudaibiyah. Seekor unta untuk 7 orang dan seekor lembu untuk 7 orang.” – Hadis riwayat Muslim



5.
Boleh berkorban untuk diri sendiri serta ahli keluarganya

Seseorang dibenarkan berkorban dan berkongsi pahala korbannnya dengan pihak keluarga meskipun hanya satu bahagian lembu untuk ahli keluarga yang ramai.



6.
Dilakukan di Musolla

Disunnahkan melakukan di kawasan lapang tempat solat sunat untuk memperlihatkan syiar Islam.



7.
Sunnah menyembelih sendiri haiwan korban

Sunnah si pelaksana ibadah korban menyembelih haiwan korban dengan tangannya sendiri. Namun dibolehkan juga mewakilkan kepada orang Islam lain.



8.
Menyembelih haiwan mengikut sunnah

Hendaklah menyembelih menggunakan objek yang tajam seperti pisau dan dilakukan dengan cepat agar haiwan itu mati dengan serta-merta. Baringkan haiwan pada sebelah sisi kirinya sebelum disembelih agar mudah memegang pisau dengan tangan kanan dan menahan lehernya dengan tangan kiri. Hendaklah membaca Basmalllah ketika menyembelih. Salur udara, kerongkong dan saluran darah di leher perlu dikerat. Darah dari badan hendaklah dikeluarkan sepenuhnya sebelum dilapah.



9.
Daging korban boleh dimakan , disedekah dan dihadiahkan

Keluarga yang melakukan korban boleh memakan, menghadiahkan dan menyedekahkan sebahagian daging korban mereka. Mereka juga boleh menyimpannya.
Sabda Nabi s.a.w : “ Makan dan simpanlah serta sedekahkan daging korban itu”. – Hadis riwayat al-Muslim



10. Tidak boleh mengupah tukang sembelihan dengan daging korban

Di Malaysia, sudah menjadi kebiasaan memberi tukang sembelih daging korban sebagai upah. Amalan ini bertentangan dengan syara’ dan dilarang keras oleh Rasulluah s.a.w. Sebaliknya perlulah menghjadiahkan mereka dengan harta sendiri dan bukan dari binatang korban.
Ali r.a berkata : “ Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik Baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit, dan pelindung yang dikenakannya serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih itu. Dia berkata : Kami memberinya dengan harta kami sendiri.” – Hadis Riwayat Muslim

Moga post kali ini memberi ilmu dan dapat diamalkan serta disampaikan kepada orang lain. Di kesempatan ini saya ingin mengucapkan salam aidiladha buat semua penggerak Islam dan seluruh umat Islam. Moga amalan kita dapat dipertingkatkatkan dari sehari ke sehari.

Syukran jazilan.


Diolah dari : Majalah I Edisi Disember.

Perlukah Bicara Soal Bidaah





Masyarakat kini telah terbiasa dengan satu terma yang menimbulkan kontroversi di kalangan ahli ilmu dan orang awam. ‘Bidaah’ sering diperkatakan oleh umat kini dan ramai ingin tahu kecenderungan pihak yang membincangkannya, sama ada ‘semua bidaah itu sesat’ ataupun ‘ada bidaah hasanah’. Ada sesetengah golongan yang berpandangan bahawa ‘semua bidaah sesat’ dan dianggap sebagai pemecah belah masyarakat. Perkara ini bukan kejutan kerana masyarakat awam kebanyakannya masih dibelenggu kekeliruan untuk membezakan antara kaedah syarak dalam muamalat dan kaedah syarak dalam ibadah.




Yang menjadi rumitnya, ada sesetengah lulusan agama dan mereka yang berjawatan dan mendapat kepercayaan masyarakat dalam hal agama menghalalkan cita rasa sesetengah pihak dalam beragama. Tambahan pula apabila mereka disemai dengan ‘benih’ prejudis terhadap ‘pemecah belah masyarakat’ tadi, maka impaknya, apabila dipertikaikan kesahihan suatu amalan agama turun temurun, manakah dalil atau nas-nas yang mengesahkan amalan itu, mereka akan meradang. Fenomena ini berlaku kerana masyarakat sering menyandarkan amalan agama turun temurun kepada para ulama’ semata.


Masyarakat kian keliru apabila mereka diperkenalkan dengan terma bidaah, ditambah pula dengan konsep’bidaah hasanah’ tanpa mereka mengenali dengan lebih mendalam lagi tentang konsep ibadah itu sendiri. Oleh itu, adakah releven untuk kita berbicara tentang soal bidaah tanpa masyarakat awam masih jahil tentang konsep ibadah?


Berikut adalah beberapa perkataan ulama’ Ahlu Sunnah Wal Jamaah dalam memahami konsep sebenar ibadah yang wajib diketahui untuk mendapat pahala daripadanya.

1. Al-Imam as-Subki seperti nukilan Ibn Hajar al-‘Asqalani as-Syafi’ie berkata:



“Asal hukum dalam ibadah adalah tawaqquf (berhenti hingga ada dalil)."

2. Pengarang Nihayah al-Muhtaj dalam mazhab As-Syafi’ie berkata:
“Asal hukum dalam ibadah adalah jika ia tak dituntut, ia tidak berlaku

3. Kata as-Syeikh Muhammad Bin Muhammad:
“Asal hukum dalam perkara bermanafaat ialah mubah (harus) manakala dalam perkara mudarat ialah haram. Maka berkata ramai ulama antaranya al-Imam al-Isnawi: dan ini hanya berlaku selepas disyariatkan dengan dalil-dalil syar’ie, sedangkan sebelum warid (ada dalil), maka pilihan ulama ialah waqf (berhenti pada dalil)”.

4. Kata as-Syiekh Said bin Ali al-Qahtani:
“Asal hukum dalam semua perkara adalah harus; kerana Allah telah menciptakan bagi hamba-Nya semua benda di atas muka bumi ini bermanafaat untuk mereka, melainkan apa yang diharamkan oleh-Nya. Asal hokum dalam ibadah adalah dilarang dan bersandarkan dalil melainkan apa yang thabit dalam syarak ia disyariatkan oleh Allah atau dari Rasulluah s.a.w.”

5. Perkataan Ibn Qayyim al-Jawziyyah:
“Asal hukum di dalam ibadat adalah batal melainkan apa yang disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya”.


Daripada kata-kata para ulama’ di atas, semuanya mempunyai kesamaan dalam memahami konsep ibadah. Tidak hairanlah bila para ulama’ Ahlu Sunnah Wal Jamaah mendatangkan kaedah:

‘Al-Ashlu fil Ibadah al-Haram Illa Ma Dalla ad-Dalil ‘ala Amrihi’
(Hukum asal dari ibadah adalah haram kecuali ada dalil yang memerintahkan)

Berbeza pula dengan kaedah muamalah iaitu:

‘ Al-Ashlu fil Muamalah Al-Ibahah Illa ma dalla ad- Dalil ‘ala khilafihi’
(Hukum asal dari muamalah adalah boleh kecuali ada dalil yang menyelisihinya)




Andai konsep ibadah tidak dapat difahami oleh para mad’u, perselisihan pendapat akan berlaku untuk menentukan amalan mana yang diterima oleh Allah.Justeru itu, para da’ie perlulah merungkaikan masalah ini sebelum terjun ke dalam persoalan yang lebih mendalam lagi.


Konklusinya, fahami konsep ibadah sebenar sebelum berbicara tentang bidaah.


Dipetik dan diolah dari : Majalah I keluaran Disember 2008

Garapan : Ibn Yusof

7 Perkara Ganjil




Terdapat seorang pemuda yang kerjanya menggali kubur dan mencuri kain kafan untuk dijual. Pada suatu hari, pemuda tersebut berjumpa dengan seorang ahli ibadah untuk menyatakan kekesalannya dan keinginan untuk bertaubat kepada Allah s. w. t. Dia berkata, "Sepanjang aku menggali kubur untuk mencuri kain kafan, aku telah melihat 7 perkara ganjil yang menimpa mayat-mayat tersebut. Lantaran aku merasa sangat insaf atas perbuatanku yang sangat keji itu dan ingin sekali bertaubat."


" Yang pertama, aku lihat mayat yang pada siang harinya menghadap kiblat. Tetapi pabila aku menggali semula kuburnya pada waktu malam, aku lihat wajahnya telahpun membelakangkan kiblat. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" tanya pemuda itu. " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang telah mensyirikkan Allah s. w. t. sewaktu hidupnya. Lantaran Allah s. w. t. menghinakan mereka dengan memalingkan wajah mereka dari mengadap kiblat, bagi membezakan mereka daripada golongan muslim yang lain," jawab ahli ibadah tersebut.

Sambung pemuda itu lagi, " Golongan yang kedua, aku lihat wajah mereka sangat elok semasa mereka dimasukkan ke dalam liang lahad. Tatkala malam hari ketika aku menggali kubur mereka, ku lihat wajah mereka telahpun bertukar menjadi babi. Mengapa begitu halnya, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai anak muda, mereka itulah golongan yang meremehkan dan meninggalkan solat sewaktu hidupnya. Sesungguhnya solat merupakan amalan yang pertama sekali dihisab. Jika sempurna solat, maka sempurnalah amalan-amalan kita yang lain,"





Pemuda itu menyambung lagi, " Wahai tuan guru, golongan yang ketiga yang aku lihat, pada waktu siang mayatnya kelihatan seperti biasa sahaja. Apabila aku menggali kuburnya pada waktu malam, ku lihat perutnya terlalu gelembung, keluar pula ulat yang terlalu banyak daripada perutnya itu." " Mereka itulah golongan yang gemar memakan harta yang haram, wahai anak muda," balas ahli ibadah itu lagi.

" Golongan keempat, ku lihat mayat yang jasadnya bertukar menjadi batu bulat yang hitam warnanya. Mengapa terjadi begitu, wahai tuan guru?" Jawab ahli ibadah itu, " Wahai pemuda, itulah golongan manusia yang derhaka kepada kedua ibu bapanya sewaktu hayatnya. Sesungguhnya Allah s. w. t. sama sekali tidak redha kepada manusia yang menderhakai ibu bapanya."



" Golongan kelima, ku lihat ada pula mayat yang kukunya amat panjang, hingga membelit-belit seluruh tubuhnya dan keluar segala isi dari tubuh badannya," sambung pemuda itu. " Anak muda, mereka itulah golongan yang gemar memutuskan silaturrahim. Semasa hidupnya mereka suka memulakan pertengkaran dan tidak bertegur sapa lebih daripada 3 hari. Bukankah Rasulullah s. a. w. pernah bersabda, bahawa sesiapa yang tidak bertegur sapa melebihi 3 hari bukanlah termasuk dalam golongan umat baginda," jelas ahli ibadah tersebut.


" Wahai guru, golongan yang keenam yang aku lihat, sewaktu siangnya lahadnya kering kontang. Tatkala malam ketika aku menggali semula kubur itu, ku lihat mayat tersebut terapung dan lahadnya dipenuhi air hitam yang amat busuk baunya," " Wahai pemuda, itulah golongan yang memakan harta riba sewaktu hayatnya," jawab ahli ibadah tadi.


" Wahai guru, golongan yang terakhir yang aku lihat, mayatnya sentiasa tersenyum dan berseri-seri pula wajahnya. Mengapa demikian halnya wahai tuan guru?" tanya pemuda itu lagi. Jawab ahli ibadah tersebut, " Wahai pemuda, mereka itulah golongan manusia yang berilmu. Dan mereka beramal pula dengan ilmunya sewaktu hayat mereka. Inilah golongan yang beroleh keredhaan dan kemuliaan di sisi Allah s. w. t. baik sewaktu hayatnya mahupun sesudah matinya."

Ingatlah, sesungguhnya daripada Allah s. w. t kita datang dan kepadaNya jualah kita akan kembali. Kita akan dipertanggungjawabkan atas setiap amal yang kita lakukan, hatta amalan sebesar zarah. Wallahua'lam..